Jika calon memilih untuk bertemu, melihat dan berkenalan
pastikan pertemuan itu tidak dilakukan secara berdua-duaan di tempat
suci dan terpencil. Jangan cemari niat yang suci dengan melanggari
perintah Allah dan Rasul. Jangan relakan syaitan menjadi orang ketiga di
antara anda dengan si dia.
10 soalan itu adalah:
1. Apakah wawasan hidupnya?
Setiap
orang mempunyai wawasan dan cita-cita yang ingin dicapai dalam
hidupnya. Inilah yang perlu anda ketahui mengenai bakal pasangan hidup
anda. Sekiranya anda dan dia mempunyai wawasan dan matlamat hidup yang
sama maka perselisihan dalam rumahtangga akan berkurangan.
2. Bagaimanakah kefahamannya mengenai konsep perkahwinan?
Kefahaman
serta tasawur yang jelas mengenai perkahwinan amat penting. Sekiranya
kedua-dua pihak mempunyai kefahaman yang berbeza, umpamanya satu pihak
menganggap perkahwinan hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsu
semata-mata, sedang satu pihak lagi memandang sebagai satu ibadah, sudah
semestinya rumahtangga yang bakal dibina tidak akan aman daripada
perselisihan dan pergaduhan.
3. Apakah sifat-sifat yang digemari dan tidak digemarinya?
Adalah
penting bagi setiap pasangan mengetahui kegemaran pasangannya, apa yang
disukai dan tidak disukainya kerana kadang-kadang perselisihan berlaku
disebabkan kelainan kegemaran dan citarasa. Sekiranya kegemaran setiap
pihak diketahui terlebih awal mungkin perselisihan dapat dielakkan.
4. Apakah pandangannya mengenai anak pada tahun pertama perkahwinan?
Setiap
orang mempunyai pandangan yang berbeza mengenai masa yang sesuai untuk
menimang cahaya mata. Sekiranya satu pihak belum bersedia sedang pihak
yang satu lagi sudah tidak sabar untuk bergelar ibu atau ayah, pastilah
kedua-dua pihak akan berasa tertekan dan perhubungan akan jadi tegang.
5. Adakah dia mempunyai masalah kesihatan atau kecacatan?
Masalah
kesihatan yang kronik atau kecacatan semula jadi pada anggota badan
tidak wajar disembunyikan. Mengetahui adanya penyakit atau kecacatan
tertentu akan mempengaruhi keputusan yang bakal diambil. Menyembunyikan
penyakit yang kronik atau kecacatan yang mengaibkan boleh dianggap
sebagai satu penipuan.
6. Adakah dia seorang yang suka bergaul?
Sesetengah
orang suka bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat, mempunyai kawan
dan kenalan di merata-rata tempat. Sesetengah yang lain pula suka
menyendiri, tidak pandai berkawan dan sukar didampingi. Orang macam mana
yang anda cari?
7. Bagaimana hubungannya dengan ahli keluarganya?
Perkahwian
bukan sekadar aqad yang mempertemukan antara dua jiwa. Sebaliknya
perkahwinan merupakan hubungan kemasyarakatan yang mencantumkan antara
dua keluarga atau lebih. Oleh itu bakal tunangan harus tahu status
keluarga serta hubungan mereka antara satu sama lain. Hubungan
kekeluargaan juga sedikit sebanyak menggambarkan keperibadian seseorang.
8. Apakah kegemarannya dan bagaimana dia mengisi waktu lapangnya?
Kegemaran serta cara seseorang memenuhi masa lapangnya juga memberi gambaran tentang wawasan serta cita-citanya dalam hidup ini.
9. Adakah dia aktif dalam mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pertubuhan kebajikan?
Keaktifan
dalam persatuan kebajikan atau pertubuhan sukarela menggambarkan dia
bukan seorang yang sombong dan mementingkan diri. Orang yang hidupnya
sekadar untuk memenuhi cita-cita dan wawasan peribadi semata-mata
sebenarnya hidup dalam dunia yang sempit dan mati sebagai insan yang
kerdil. Tetapi orang yang hidup dalam perjuangan akan hidup sebagai
insan yang hebat dan apabila dia mati namanya akan dikenang
zaman-berzaman.
10. Apakah pandangannya sekiranya ibu bapa masuk campur dalam urusan peribadi atau urusan rumahtangga mereka?
Setengah
orang menganggap rumahtangga adalah masalah peribadi yang terlalu
khusus. Tiada seorang pun yang boleh masuk campur walaupun ibu bapa
sendiri. Hal ini sangat penting diketahui oleh setiap orang yang akan
memasuki gerbang perkahwinan. Apakah pandangan bakal pasangan hidupnya.
Adakah dia termasuk dalam golongan di atas atau sebaliknya seorang yang
terlalu bergantung kepada kedua-dua ibu bapanya walaupun telah
berkeluarga?
Apabila anda telah mendapat jawapan yang
bersesuaian dengan apa yang dicari, maka teruskanlah hasrat anda untuk
melamarnya. Begitu juga halnya dengan pihak yang dilamar. Pastikan anda
mengenali jejaka yang melamar itu dengan mengajukannya 10 soalan di
atas.
http://www.malaysiaharmoni.com/v2/index.php/kolumnis/ustazah-maznah-daud/78
"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN",
No comments:
Post a Comment